Jumaat, 21 Ogos 2009
Asri Rabbani Pulang ke Rahmatullah
Pemimpin Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi kerana sakit jantung.
Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital swasta itu.
Menurut Seorang anggota Rabbani Mohd Asri Ubaidullah ketika ditemui di hospital itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi. Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambahnya.
Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut - yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi. "Pada kira-kira jam 10.30 beliau jatuh pengsan, kira-kira 20 minit selepas itu. Apabila sampai ke hospital beliau sudah disahkan meninggal dunia," kata Mohd Asri.
Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nadamurni.
Allahyarham dalam coretan terakhir di blognya (asrirabbani.blogspot.com) mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.
Pencapaian kumpulan itu, yang bernadikan Asri, termasuklah beberapa anugerah utama industri muzik - album nasyid terbaik selama tiga tahun dan album terbaik (2001).
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan